Kisah Eksekutif Bank Yang Menggodam Sistem Untuk Mencuri 1 Sen- Aman Shah
Kes rompakan bank yang biasa kita lihat di dalam filem biasanya melibatkan penjenayah bersenjata yang menyusup masuk secara senyap ke dalam bank dan meminta pegawai bank untuk memasukkan wang ke dalam beg sambil rakan yang lain mengawal pintu masuk.
Rompakan seperti ini biasanya dilakukan oleh mereka yang tidak mempunyai kemahiran namun memiliki keberanian akibat terdesak. Sesiapa sahaja boleh melakukannya, namun yang tidak pasti adalah sama ada ditangkap atau tidak.
Namun apa yang berlaku pada tahun 1990 adalah sesuatu yang diluar dugaan orang ramai, terutamanya rakyat Malaysia. Kes ini boleh dikategorikan sebagai satu rompakan, namun ia dilakukan dengan begitu teliti dan tidak disedari oleh sesiapa.
Apa yang lebih menarik, ia hanya dilakukan oleh seorang individu sahaja, bernama Aman Shah.
Hanya bekerja sebagai seorang eksekutif di sebuah bank dengan gaji RM1,800 sebulan, Aman Shah menjalani kehidupan yang sangat mewah seperti seorang jutawan dengan memiliki 6 buah kereta sport mewah.
Kereta-kereta tersebut dibeli secara tunai dengan tiga daripadanya tidak didaftarkan dan tidak dibayar cukai import, dua lagi didaftarkan di atas namanya dan sebuah lagi di atas nama teman wanitanya, Raha V V Aboo.
Kesemua kereta ini bernilai RM3.05 juta secara keseluruhannya, iaitu:
- Lamborghini Countach (RM1.3 juta)
- Porsche 928 S4 (RM638,000)
- Porsche Carrera (RM350,000)
- Mercedes Benz 300SL (RM502,000)
- Mercedes Benz 300E (RM192,000)
- BMW 329I (RM68,000)
Jadi, bagaimana seorang yang bergaji sederhana mampu memiliki kesemua kereta mewah ini? Jawapannya adalah jenayah kolar putih.
Dari eksekutif bank kepada jutawan segera
Dilahirkan pada 9 Oktober 1966, Aman Shah merupakan graduan perakaunan dari Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara) dan berusia 24 tahun ketika melakukan jenayah ini.
Dia bekerja di Hock Hua Bank cawangan Raja Laut dan merupakan seorang pekerja yang agak cekap.
Selepas setahun bekerja, majikannya melihat potensi pada Aman lalu menghantarnya untuk menghadiri kursus komputer di mana dia mempelajari kemahiran untuk melaksanakan operasinya.
Aman kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai ketua di jabatan pemprosesan SPEED iaitu Sistem Pemindahan Elektronik Untuk Dana Dan Sekuriti.
Menggunakan jawatan dan kemahiran yang dipelajarinya, sumber menyatakan bahawa dia melaksanakan operasi dengan memindahkan 1 sen setiap hari dari setiap akaun di Hock Hua Bank ke akaun proksi di bank lain.
Operasinya berjaya mencapai sejumlah RM41 juta.
Minat terhadap kereta sport membawa padah
Sebagai seorang peminat kereta sport yang tegar, Aman tidak dapat menyembunyikan minatnya ini.
Dia pernah menyertai pameran kereta sport pada Jun 1990 dan pernah dilihat bersiar-siar pada waktu petang menaiki kereta termahalnya, Lamborghini Countach.
Namun, bak kata pepatah Melayu, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.
Nasib baik yang dimiliki Aman Shah bertukar menjadi mimpi buruk, apabila dia ditemuramah mengenai pemilikan kereta sport nya dalam sebuah rancangan TV pagi, Sekapur Sireh TV3 pada 3 Jun 1990.
Dan temuramah ini berlansgung, Aman sudah meletakkan jawatannya di Hock Hua Bank. Dia dengan bangganya berkongsi mengenai koleksi kereta mewahnya dan kelebihan setiap satu daripadanya kepada khalayak ramai.
Agak menghairankan juga mengapa dia begitu berani untuk berkongsikan perkara ini, memandangkan ia boleh menimbulkan syak wasangka daripada orang ramai terutamanya majikan dan pekerja-pekerja lain.
Secara kebetulan, bekas majikannya juga menonton rancangan TV tersebut.
Dicurigai bekas majikan
Tidak berasa kagum, bekas majikan Aman sebaliknya berasa curiga bagaimana bekas pekerjanya dengan gaji RM1,800 sebulan mampu memiliki koleksi kereta mewah tersebut.
Tanpa membuang masa, bekas majikannya bergegas menemui juruauditnya untuk melakukan audit terhadap kesemua transaksi yang dilakukan dan melibatkan Aman Shah.
Selepas berpuas hati dengan bukti yang dimiliki, bekas majikannya membuat laporan polis di Balai Polis Campbell pada 8 Jun 1990. Berikutan laporan polis ini, Aman Shah telah diberkas di kondominium mewahnya di Bangsar tiga hari kemudian.
Songlap RM3 juta dalam masa 14 hari
Pihak polis mempercayai bahawa jenayah ini dilakukan dengan memindahkan wang pelanggan bank ke dalam akaunnya selepas berjaya memecahkan kod keselamatan.
Jenayah yang melibatkan RM4 juta ini hanya dilakukan dalam masa 14 hari sahaja.
Aman Shah yang ketika itu merupakan pemilik agensi pengiklanan Bistro telah dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur atas tuduhan menipu wang sebanyak RM4 juta milik Hock Hua Bank.
Aman didakwa dengan empat pertuduhan, iaitu:
- Menipu sebanyak RM765,343 di Hock Hua Bank Bhd, 300 Wisma Mui San, Jalan Raja Laut pada 13 Mac 1990
- Menipu sebanyak RM634,656.60 di tempat yang sama pada 16 Mac 1990
- Menipu sebanyak RM882,629.80 di tempat yang sama pada 23 Mac 1990
- Menipu sebanyak RM717,370.20 di tempat yang sama pada 27 Mac 1990
Tuduhan lain terhadap penyalahgunaan kuasa Aman Shah termasuklah:
- RM88,656 pada 12 Januari 1990
- RM411,344 pada 19 Januari 1990
- RM510,00 pada 9 Februari 1990
Bagaimana penipuan ini berjaya dilakukan?
Pasti anda ingin mengetahui secara terperinci bagaimana jenayah ini dilakukan, kan?
Aman Shah melakukannya dengan memperdaya pihak pengurusan Bank Negara di mana dia mengemukakan arahan palsu melalui Sistem Pemindahan Elektronik Untuk Dana Dan Sekuriti (SPEEDS).
Arahan palsu ini membolehkan Aman memindahkan wang daripada Hock Hua Bank ke akaun agensi pengiklanan Bistro miliknya di Bank Bumiputra Malaysia Bhd.
Aman Shah, seorang eksekutif bank dan peminat kereta sport yang berjaya memperdayakan dua buah bank untuk mengaut keuntungan RM4 juta dengan pantas, telah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman 5 tahun penjara.
Khabar angin
Menurut bekas warden penjara, Aman dilayan sebagai penjenayah istimewa kerana dia ditugaskan untuk bertugas di pejabat manakala yang lain diberikan tugas fizikal lain.
Juga terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa Aman Shah telah dtawarkan bekerja dengan jabatan jenayah komersial untuk Polis DiRaja Malaysia. Namun tiada bukti kukuh yang ditemui untuk mengesahkan perkara ini.
Aman Shah juga dikatakan masih hidup dan berusia 52 tahun (2018) serta menetap di Ampang, Kuala Lumpur.
Operasinya berjalan dengan sangat lancar disebabkan pada tahun 1990, sistem perbankan di Malaysia masih menggunakan sistem buku akaun yang dikemas kini secara manual di kaunter.
Jika ia dilakukan pada hari ini, kemungkinan Aman Shah akan ditangkap pada hari pertama wang tersebut dipindahkan kerana setiap sen yang hilang boleh dikesan dengan sekelip mata.
Keratan Akhbar Tahun 1990
Rujukan:
2. Forum
Comments
Post a Comment